Sabtu, 25 Ogos 2012

DILEMMA KERETA ELEKTRIK DAN KRISIS TENAGA



CUKUP 'hijaukah' kereta elektrik?

Persoalan tersebut pasti mudah dijawab dengan mengatakan kereta elektrik adalah kenderaan paling bersih di dunia daripada segi pencemaran udara dan penggunaan bahan bakar fosil.

Namun di sebalik keindahan yang digambarkan tersebut tersorok sesuatu yang membimbangkan iaitu dari mana sumber elektrik tersebut diperolehi? 'Hijaukah' cara ia dijana? Cukupkah bekalan sedia ada?Di Malaysia, kita menggunakan 90 peratus sumber tenaga fosil (minyak, gas, arang batu) dan 10 peratus lagi daripada hidro elektrik untuk menjana tenaga elektrik.

Kita memperoleh 100 peratus daripada bekalan arang batu untuk kegunaan Semenanjung Malaysia dari negara seperti Indonesia, Australia dan beberapa negara lain.

Manakala, sebanyak 25 peratus bekalan gas pula diperoleh dari Thailand dan Indonesia.
Kebergantungan kepada negara lain untuk memperoleh sumber-sumber berkenaan sudah jelas memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ambang kepupusan sumber fosil bagi penjanaan elektrik.
Negara dijangka menghadapi krisis tenaga dalam tempoh kurang 10 tahun lagi jika terus bergantung kepada arang batu dan gas sebagai sumber utama menjana elektrik.

Belum pun lagi kenderaan elektrik memenuhi jalan raya, kita sudah berdepan dengan kekurangan bekalan elektrik.
Apa akan jadi jika kita menggunakannya dengan keperluan dicaj semula setiap hari, tentunya kadar penggunaan elektrik akan meningkat beberapa kali ganda untuk setiap isi rumah.

Kesan dari tekanan berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah mengumumkan akan membina loji jana kuasa nuklear pertama negara pada 2021 untuk menampung peningkatan pengunaan elektrik?

Untuk mengejar kenderaan berteknologi hijau, dalam tidak sedar kita sebenarnya semakin menghampiri teknologi yang semakin cuba ditolak dunia iaitu tenaga nuklear.

Persoalannya, adakah cara lain yang lebih baik untuk kita meningkatkan kapasiti janaan elektrik dengan pantas selain nuklear atau kita akan berdepan semula dengan sejarah terburuk negara apabila bekalan elektrik terputus selama 48 jam pada 1992.

"Diluah mati emak, ditelan mati bapak." Sebut sahaja nuklear, peristiwa-peristiwa hitam yang pernah berlaku di dunia antaranya letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945, kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986 dan terkini peristiwa kebocoran radiasi di loji kuasa nuklear Fukushima, Jepun akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu terus bermain di minda.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menolak penggunaan tenaga nuklear dan menyarankan tumpuan diberi kepada hanya empat sumber untuk menjana tenaga iaitu minyak, gas, arang batu dan air atau tenaga hidro.

"Selagi saintis belum menemui cara untuk menyahaktifkan uranium yang diaktifkan untuk menjana tenaga nuklear, selagi itu ia tidak selamat digunakan," katanya.

Dilema ini mungkin tidak ketara sekarang berikutan lebih 20 buah kereta elektrik di Malaysia masih di peringkat ujian tetapi menurut perancangan pengeluar kereta berkenaan boleh dikomersialkan kurang daripada tiga tahun lagi.

Jika kerajaan mahu terus memilih tenaga nuklear sebagai penyelesaian terbaik, adakah rakyat sudah bersedia menerimanya?

Mungkin pendidikan dan penerangan secara menyeluruh mengenainya perlu digerakkan dari sekarang untuk mengelakkan 'kontroversi Lynas' berulang pada masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan